Ahad, 22 Julai 2012

Mencari Jannah

Jennie menyisir rambut ikal miliknya dengan rapi. Berhias sederhana sebelum keluar rumah. Beg biru polosnya digantung di bahu kirinya. Udara pagi yang nyaman berhembus lembut menampar pipi mulus miliknya. Jennie menarik nafas sedalamnya, menikmati kedamaian pagi. Langkah diatur keluar dari kediaman menuju destinasi yang dihajati.

'Dia lagi,' Jennie monolog sendirian melihat kelibat jejaka melayu di hadapannya. Jennie buat-buat sibuk melayan kanak-kanak di hadapannya. Kanak-kanak itu kelihatan leka dan gembira dengan mainan mereka.

Johan menghampiri Jennie yang kelihatan khusyuk melayan ragam mereka. Di tangannya terdapat bungkusan polisterina. Menghampiri kedudukan Jennie dan kanak-kanak tersebut.

"Selamat pagi, Jennie. Ini makanan untuk kamu."

"Selamat pagi, tak mengapa, saya dah makan sebelum datang ke sini. Tak perlu susah-susah."

Jennie berdalih. Tidak mahu terlalu rapat dan termakan budi dengan Johan. Johan senyum cuma menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Jennie mengalih perhatiannya kepada kanak-kanak di Asrama Darul Ehsan (ASDEH), penempatan khusus untuk anak-anak yang kehilangan ayah dan ibu serta tidak berkeluarga.

"Ini bukan dari saya, saya cuma sampaikan arahan dari Puan Rosmah di sana. Dia suruh saya beri pada kamu. Tinggal kamu sorang saja yang tak jamah makanan yang dia bawa. Nah, ambillah. Tak mahu saya nak ke sana dengan makanan ni lagi."

Johan mengunjuk polisterina di tangan. Matanya mengerling ke arah Puan Rosmah tidak jauh dari tempat mereka. Kelihatan Puan Rosmah tersenyum ke arah mereka. Jennie tiada pilihan, diambil bungkusan polesterina di tangan Johan.

----------------------------------------------


"Saya tidak kata ajaran agama yang kamu anuti itu salah, tetapi tidak juga saya kata agama kamu itu benar."

"Jadi, kamu nak kata agama kamu itu benar dan agama saya ini salahlah, begitu?"

"Tidak juga, seperti yang saya katakan tadi," Johan senyum melihat kemarahan gadis cina di hadapannya. Berjaya memancing kemarahan gadis ini merupakan kemenangan buat dirinya.

Wajah Jennie merona merah, geram dengan hujahan Johan yang baginya sengaja mencipta provokasi. Belum pernah lagi mana-mana insan yang memprovokasi dirinya seperti yang dilakukan oleh Johan. Kali ini, isu yang dibahaskan amat sensitif bagi Jennie. Johan cuba mempertikai agama nenek moyangnya, agama suci milik Jesus Christ yang berkorban buat umat Kristian, mengorban diri untuk disalib bagi menghapuskan dosa-dosa pengikutnya.

Teringat kepada Jannah, wanita pertengahan 30-an yang dikenali semasa di Damai Therapy. Berbeza sekali dengan Johan yang baginya sengaja mahu memburukkan agama suci pegangan biblenya. Jannah, wanita yang lembut, tidak memprovoknya dengan soalan-soalan peluru berpandu seperti Johan.

"Kalau benar kamu kata ajaran kamu itu benar, mengapa saya lihat masih banyak berlaku ketidakadilan dalam agama kamu? Wanita masih lagi teraniaya. Kaum wanita ditindas dalam segala hal termasuk pembahagian harta, hak isteri dalam perkahwinan, dan banyak lagi, kalau saya sebut, tak terlarat kamu nak membidasnya," ujar Jennie sinis.

"Cara kamu ni seperti menyokong SIS sahaja."

"SIS juga dimonopoli oleh orang Islam bukan? Nampak, agama yang kamu kata sempurna itu pun banyak perpecahan pendapat," pantas Jennie membidik sasaran. Johan masih tenang, senyuman terpamer di wajahnya.

'Dakwah itu sasarannya manusia. Halangannya adalah syaitan dan nafsu. Dakwah itu suatu tugas. Upahnya adalah ujian yang mendatang. Ia bukan jalan yang senang, pendakwah pasti teruji. Justeru, bersabarlah. Apa-apa sahaja yang bakal melintang di jalan dakwahmu, bersabarlah'

Johan masih ingat ungkapan gurunya semasa menuntut dahulu. Itulah yang dipegangnya kini untuk menyuburkan hati gadis di hadapannya dengan nilai dan akidah Islam.

----------------------------------------------



Jennie masuk ke Damai Theraphy dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Di tangannya dua buah beg kertas digenggam erat. Penyambut tamu tersenyum melihat Jennie. Acapkali gadis cina itu menggunakan khidmat di Damai Theraphy membuatkan dia mudah dikenali.

"Busy? Seperti biasa," Jennie ramah menyapa gadis berkebaya pendek di ruang penyambut tamu.

"Hari ni kurangla amoi. Sebentar ya, dia masih ada customer."

"Ok, saya tunggu di sini," Jennie melangkah menuju ruang menunggu. Dibelek majalah yang sedia ada. Beberapa ketika, kelibat seorang lelaki keluar dari bilik rawatan. Jennie pandang sekilas. Bingkas bangun apabila penyambut tamu menggamit.

"Buat apa tu?" Jennie menjuih bibirnya pada lelaki yang keluar.

"Buat urutan dengan bekam, Kak Jannah dah clear, pergilah masuk dalam."

Jennie melemparkan senyuman sebelum bergegas menuju ke bilik yang tersedia dengan beg kertas yang masih di tangannya. Kelihatan Jannah sedang merapikan ruang terapi. Tersenyum melihat kehadiran Jennie.

"Jennie, lama tak datang, sekejap ya, akak pergi ambil salinan, Jennie tukarlah baju dulu," tangan Jannah ligat menghidupkan lilin aromaterapi di sekitar bilik. Warna ungu gelap yang melatari bilik serta susun atur yang diilham dari Bali membangkitkan kedamaian dan ketenangan, sesuai dengan namanya, Damai Theraphy.

"Kak Jannah urut sedaplah, saya suka." Jannah yang khusyuk menyudahkan urutan di kaki Jennie tersenyum cuma mendengar pujian Jennie tiap kali dia mampir ke situ. Ajaran Tok Wan suatu ketika dulu sewaktu dia masih sunti membuahkan kemahiran yang menjadi punca rezekinya kini.

"Ini saja yang akak mampu buat Jennie, kerja lain manalah pandai. Tak macam Jennie, kena rebut peluang belajar tinggi-tinggi, nanti boleh dapat kerja bagus, taklah macam akak ni.."

"Tak mey, tak ada akak tak bolehlah saya buat urut-urut macam ini. Nanti saya sudah kerja ada bisnes sendiri tolong akak buka bisnes urut sendiri mey.. manyak untung akak dapat nanti."

Jannah tergelak dengan ujaran Jennie. Jennie siap berpakaian setelah sessi urutan selesai. Jannah masih tekun merapikan sudut terapi yang digunapakai sebentar tadi. Rutin yang biasa dilakukannya sejak 2 tahun yang lalu.

"Kak Jannah, ini saya ada bawa hadiah untuk akak.."

Jennie mengunjuk bungkusan kertas yang dibawanya. Jannah teragak-agak untuk mengambilnya. Dengan isyarat mata, Jennnie meminta Jannah melihat isi di dalamnya.

"Akak tak boleh terima ni Jennie," Jannah menggeleng. Jennie hanya tersenyum.

"Haiya. Tak payah malu-malu sama saya, saya ikhlas mahu tolong kakak Jannah, Ambil ya buat Khadijah sama Umar. Sudah lama tak jumpa sama diorang la."

"Terima kasih Jennnie," Jannah merangkul erat gadis cina di hadapannya. Mutiara putih jatuh berjuraian di kolam matanya. Jennie tersenyum, menepuk lembut bahu Jannah.


----------------------------------------------


Malam gelap pekat menyelubungi alam. Hanya kelihatan lampu-lampu di tepi jalan yang disediakan oleh kerajaan di jalan tertentu menerangi kawasan. Jannah menyusuri denai menuju kediamannya. Dari kejauhan, kelihatan sebuah rumah usang yang hampir rebah di bumi. Kelihatan remang cahaya dari dalam rumah tersebut.

'Umar dengan Khadijah tak tidur lagi,' desis hati Jannah. Menapak menaiki rumah perlahan-lahan. Tidak mahu mengganggu Umar dan Khadijah yang mungkin sedang menelaah pelajaran, fikirnya.

Krak. Pintu dibuka. Berdicit bunyi papan usang yang tidak teratur susunannya saat Jannah membuka pintu. Khadijah menyedari ibunya sudah pulang bingkas bangun dari duduknya. Menyalami Jannah sebelum ke dapur untuk mengambil segelas air. Umar yang terlena sebentar dengan buku sebagai pengalasnya bangun memisat mata. Jannah menghampiri anaknya, mencium ubun kepala Umar, sambil menutup buku yang dialasi Umar.

"Untuk Umar," beg kertas yang dipegang diunjukkan kepada Umar. Umar bingkas bangun melihat isi di dalamnya. Gembira dengan pakaian yang diperolehinya.

Khadijah yang menuntun gelas dari dapur hairan dengan telatah Umar. Dihulur air buat Jannah. Jannah mengunjuk beg kertas kepada Khadijah. Khadijah menyambut kehairanan. Dijenguk isi di dalamnya.

"Kak Jennie hadiahkan untuk kamu," Jannah meneguk air di tangannya perlahan-lahan.

Khadijah meletak beg kertas di sisi. Mengurut lembut bahu ibunya. Jannah diam, memejam mata sambil menikmati urutan anak gadisnya.

"Kak Jennie baik ya ibu, tak macam Cik Seman dengan Mak Piah tu," Khadijah membuka mulut. Jannah yang asyik diurut membuka mata.

"Jahat-jahat mereka pak sedara dengan mak sedara kamu juga. Ada dia ke mari tadi,"

"Ada, dia minta bayaran tapak yang kita duduk ni ibu," Jannah bungkam mendengar kata-kata Khadijah. Dipejam matanya untuk melupakan segala yang terkusut di mindanya. Umar masih lagi gembira menggayakan baju barunya sementara Khadijah masih tekun mengurut ibunya yang keletihan.

-------------------------------------------


"Kenapa Umar? Kenapa kamu menangis ni? Cakap dengan ibu, kenapa?"

"Kawan sekolah ejek Umar ibu. Mereka kata Umar tak boleh ikut majlis kat sekolah. Bekalan yang ibu sediakan katanya tak halal. Umar malu ibu," Umar menangis teresak di pelukan Jannah.

Hati Jannah bagai dihiris semilu. Apalah yang difahami oleh anak sementah Umar. Mencari rezeki dengan tarafnya yang rendah, hanya di Damai Theraphy yang mampu membuatkan dapurnya berasap setiap hari.

"Ibu, betul ke kata mereka kerja ibu kotor, tak boleh makan duit hasil kerja ibu," Jannah senyum kelat. Diusap rambut Umar. Anaknya masih belum mengerti rencah hidup dunia.

"Umar sayang ibu kan, jangan peduli kata orang, yang penting Umar mesti jadi anak yang baik untu ibu, baik untuk Kak Khadijah, sebaik Umar sahabat nabi. Umar sayang ibu tak," Umar menganggukkan kepalanya berkali-kali. Jannah senyum melihat telatah anaknya.

"Kalau sayang, Umar jangan nangis-nangis lagi ya sayang," Jannah mendakap Umar. Setitis mutiara putih gugur di tubir matanya. Demi anak-anaknya, Jannah rela dicaci dihina, namun hatinya lelah melihat anak sendir dihina. Mana adilnya manusia kini?

"Hai, tak cukup ke dengan mengurut jantan, dok menjual kuih pulak."

"Tak jadilah beli kuih kat sini, takut-takut kena buatan orang. Yelah, air tangan orang tak suci ni bahaya, nanti dijampinya semua lelaki kat kampung ni pulak."

"Nah, takkanlah nak jual mahal kot, lelaki kat pekan tu bolehnya kau layan, takkan aku
sekampung pun kau nak berkira."

Sinis panggilan penduduk di tempatnya tentang kerjaya yang dipilih Jannah masih terngiang di telinga. Aku hanya mengurut, bukan menjual diri.

"Mengurut tu bukankah kau ulit setiap tubuh badannya. Kau tu perempuan, urut lelaki kau tak rasa malu ke? Mula-mula mengurut, lepas tu? Mazhab mana yang ajar kau ni?" Masih diingat marahnya imam kampung apabila pekerjaannya dipertikai.

Imam yang selama ini banyak membantunya semenjak kematian suaminya kini mula berpatah arang berkerat rotan dengannya. Jannah benar-benar tertekan dengan situasi. Mujur iman masih membelenggu diri, masih diingat akan kedua anaknya yang sedang membesar. Tekanan yang dihadapi membuatkan Jannah kini selesa meminggirkan diri dari aktiviti kampung. Tidak mahu hatinya malah yang penting hati anak-anaknya terluka.


Masih diingat dengan jelas bagaimana kedatangan Jennie ke terataknya menjadi buah mulut orang ramai. Sepanjang jalan menuju rumahnya, tidak berkelip mata-mata yang memandang, untuk mencari bahan perbualan hangat di kedai kopi nanti.

"Hai, takkanlah terdesak sangat nak cari kawan sampai cari ke pekan. Bawak cina kopet masuk kampung, nak sesatkan akidahlah tu", bicara Uda Senan sinis sewaktu bertembung. Malunya pada Jennie dengan sikap orang kampungnya yang lebih tidak beradab berbanding Jennie.

"Kalau Kak Jannah, perlu bantuan, boleh saja minta pada saya. Ini alamat tempat saya selalu pergi. Kak senang-senang boleh bawa Khadijah sama Umar," huluran sekeping kad coklat bertinta hitam diambil. Jannah terharu, Jennie sanggup menghulurkan bantuan meringankan bebanan meski mereka berlainan akidah. Mengapa imam yang saudara seakidah dengannya lebih tidak memahami situasinya. Desiran angin yang berpuput lembut menghilangkan segala keresahan yang membelenggu diri.

--------------------------------------------


Johan meninjau kawasan asrama. Kelihatan beberapa kanak-kanak yang sedang bermain badminton di gelanggang. Beberapa orang yang lain sedang melakukan aktiviti riadah yang lain. Waktu petang di ASDEH, anak-anak diberi ruang untuk merehatkan minda dnegan beriadah. Usai solat Isyak, akan diadakan ceramah mengenai apa ertinya saya memeluk Islam oleh Ustaz Firdaus.

Kebiasaannya, para sukarelawan akan hadir untuk membantu melancarkan program. Kawasan ASDEH yang mempunyai kira-kira 100 orang anak-anak yatim piatu kekurangan tenaga untuk mendidik. Para sukarelawan yang hadir amat dialu-alukan bagi membantu pentadbiran di ASDEH.

Johan hampa. Kelibat Jennie tidak kelihatan. Kebiasaan Jennie hadir jika ASDEH memerlukan kakitangan tambahan. Mungkin Jennie masih marah dengan kata-katanya tempoh hari. Johan menghela nafas panjang.

"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka," khusyuk anak-anak di ASDEH mendengar ceramah. Johan di belakang mendengar dengan tekun setiap yang disampaikan oleh Ustaz Firdaus.

Fikiran Johan menerawang kepada Jennie. Jennie, gadis cina yang istimewa baginya. Tidak seperti kebanyakan gadis cina lain, Jennie bermata bundar, wajahnya mirip melayu, Cuma kulitnya jelas kelihatan seperti kebanyakan bangsa cina di tempatnya. Mungkin kerana campuran dari ayahnya yang berketurunan suku Temiar di Pahang.

Jennie sangat rajin membantu perkembangan semasa di ASDEH. Johan tertarik dengan peribadi Jennie. Mungkin jika disisipkan dengan nilai-nilai Islam sebenar, hati Jennie akan terpaut pada ajaran syumul itu. Acap kali melihat Jennie membantu majlis-majlis berbentuk keagamaan yang diadakan di ASDEH, malah Jennie tidak janggal untuk memakai selendang menutup rambutnya bagi menghormati majlis yang diadakan.

'Mungkin cara yang aku tampilkan salah, tapi aku mahu Jennie seperti anak-anak di sini,' Johan masih termenung. Sehingga majlis selesai, Johan masih tidak lihat kelibat Jennie. Johan kecewa. Tindakannya membuatkan Jennie semakin jauh dari apa yang diimpikannya.

Ustaz Firdaus duduk di ruang makan yang disediakan. Johan duduk di sebelah menemani jamuan ringan yang diadakan selepas ceramah sebentar tadi. Kek lapis diambil sepotong disuakan ke mulut. Dikunyah perlahan sebelum meneguk air di cawan yang tersedia.

"Kamu ada masalah ke?"

Johan diam. Mengiya tidak, menidakkan juga tidak. Sukar untuk menepis telahan Ustaz Firdaus. Ustaz yang lebih dulu makan garam darinya pasti lebih mengetahui.

"Hari ini tak nampak ramai sukarelawan di ASDEH," Ustaz Firdaus menukar topik.

"Jennie tak dapat datang rasanya ustaz, selalu dia ada saja kalau dipanggil," Ustaz Firdaus tersenyum. Jeratnya mengena tepat. Johan yang sedar dirinya terperangkap malu dengan kata-katanya sebentar tadi.

"Dicari isteri kerana empat perkara, kecantikan, kekayaan, keturunan dan agamanya, carilah yang beragama, Insya-Allah rumah tangga akan diberkati. Nak mendidik mereka yang baru kenal agama ni ibarat bayi yang baru lahir ke dunia. Silap didikan, pincanglah masa depan."

Johan diam. Bagai baru tersedar tentang hal yang satu. Bergetar hatinya mendengar ujaran Ustaz Firdaus. Selepas menghantar Ustaz Firdaus, Johan duduk mendiamkan diri di bilik. Sepanjang malam Johan tidak tidur. Johan duduk berteleku di sejadah, memohon ampunan pada sang pencipta. Hatinya merintih sayu di saat penghuni yang lain sedang nyenyak dibuai mimpi.

Hatinya diuji dengan ujian dan ternyata dia hampir tewas dengan ujian itu. Taksubnya Johan mahu mengislamkan Jennie kerana tertawan dengan kecantikan dan keluhuran budi Jennie. Johan dikaburi dengan niat yang dipesongkan dari hatinya. Malam itu menjadi saksi anak Adam menangisi kesilapan yang dilakukan.

---------------------------------------


Jannah mengikuti Jennie menyusuri jalan bertar di hadapannya. Lima minit perjalanan, Jennie berhenti, menoleh dan senyum ke arah Jannah.

"Mari," Jennie menarik tangan Jannah mengikutnya. Jannah yang terkejut hanya mengikut rentak Jennie. Mereka memasuki pintu pagar berwarna putih. Di hadapan pintu utama, berdiri seorang wanita memakai pakaian serba hitam bertutup di kepala. Wanita itu menyambut kedatangan mereka dengan senyuman yang mesra.

Ruang bilik yang dipenuhi kerusi kelihatan lengang. Di kiri dan kanan dinding penuh kelihatan lukisan abstrak dan patung pelbagai bentuk. Jannah berasa janggal sekali berada di dalam kawasan itu. Tangannya yang tidak lepas di genggaman Jennie sudah basah dengan peluh.

Seorang lelaki separuh abad, berpakaian putih dengan lilitan kain coklat muda di bahunya keluar dari pintu belakang sebuah bilik. Jennie tunduk hormat. Lelaki itu hanya senyum kepada Jannah. Di tangan kirinya memegang seutas biji rantaian seperti tasbih, di celahan biji tasbih itu, kelihatan satu bentuk yang menggugat hati Jannah.

Jannah merentap tangannya dari genggaman Jennie. Jennie terkejut dengan tindakan Jannah. Father yang melihat tindakan Jannah terpinga-pinga kehairanan. Jannah berlari keluar dari kawasan itu. Hatinya bergetar kuat. Akidahnya hampir dipesongkan dengan kemuliaan yang ditunjukkan oleh Jennie.

'Ya Allah, ampunkan dosaku..Ya Allah..Astaghfirullahal 'azim.'

Jannah berlari keluar bagai diserang histeria. Lariannya pantas. Jannah berlari melintas jalan raya yang berada di hadapan gereja. Bunyi hon kereta membingitkan suasana. Serentak kedengaran bunyi yang dahsyat. Jennie yang baru sampai di muka pintu gereja terkejut dengan situasi di depannya.

-------------------------------------------


Awan mendung berarak di petala langit. Sesekali angin yang bertiup menerbangkan daunan yang kering di dahanan yang rendang. Bau bunga kemboja yang harum menusuk ke rongga hidung. Tanah yang basah ditimpa hujan semalam becak dipijak. Beberapa orang berjalan keluar dari kawasan perkuburan.

Khadijah masih duduk membatu. Umar di sebelah hanya membisu. Kering air matanya dengan peristiwa yang tidak diduganya. Dalam sekelip mata, mereka hilang tempat bergantung. Tanah merah yang masih lagi basah digenggam erat. 'Semoga ibu bahagia di sana'

Seorang wanita berpakaian serba hitam dan berselendang hitam menapak menuju ke pusara. Mendekati Khadijah dan Umar yang masih lagi duduk menghadap pusara di hadapan mereka. Tangannya menyentuh lembut bahu kedua anak kecil itu. Khadijah menoleh, lantas memeluk, meledakkan tangisan yang telah dipendam.



Hari berganti mingu, minggu berganti bulan. Genap dua bulan pemergian Jannah. Sudah dua bulan jugalah Khadijah dan Umar menetap di kediaman baru mereka. Walau apa yang terjadi hidup perlu diteruskan. Umar mulai kembali riang bersama teman-teman yang senasib dengannya. Mujur Jennie banyak membantu mereka dari belenggu masalah yang dihadapi setelah kematian ibunya tempoh hari.

"Kakak Jennie, ada orang bagi pada kakak," Jennie tersenyum cuma menyambut huluran bungkusan hadiah yang diterima.

"Siapa bagi ni." Jennie menjengah di sekitar ASDEH. Tiada kelibat sesiapa. Pantas Jennie membuka kotak yang membungkus isi dalamnya. Sebuah buku berwarna hijau tua di dalam kotak itu. Jennie memegang buku itu. Sehelai kertas terjatuh ke lantai. Jennie membuka lipatan kertas yang ditulis kemas dengan tulisan tangan.


Andai pernah terkasar bahasa hingga mengguris rasa, sudilah kiranya diampun segala kesilapan yang terleka. Niat di hati ingin menyunting hati bunga di taman, namun kunci taman larangan tiada di genggaman. Kunci itu hanya yang punya diri dapat perolehi. Semoga dirimu peroleh kunci yang memisahkan jarak dan ruang waktu kita.

Sembah salam,
Johan

Setitis mutiara jernih jatuh di tubir mata Jennie. Sekian lama tidak bersua dengan insan yang banyak menyedarkan tentang khilafnya. Buku di genggaman dibuka. Tertera dengan jelas judul 'Apa Ertinya Saya Memeluk Islam'. Jennie mengucup buku tersebut. Lambaian pohonan di kawasan ASDEH seakan meraikan kedatangan insan yang melangkah ke alam baru. Kicauan burung yang keriangan seakan girang dengan situasi yang tercipta. Dari kejauhan, kelihatan Johan tersenyum ke arah Jennie. Di sampingnya Khadijah dan Umar. Sesungguhnya tiap yang berlaku mempunyai hikmah yang kadang manusia tidak ketahui.

mencari-jannah.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan